Click Click NOW

Thursday, January 13, 2011

MPSP larang guna polistirena 1 Februari

Teoh Seang Hooi (kanan) menunjukkan bekas pembungkus makanan yang dibenarkan kepada peniaga semasa melakukan pemeriksaan di Kompleks Penjaja MPSP, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam. - utusan/Sazali Che Din

NIBONG TEBAL 12 Jan. - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan menguatkuasakan larangan penggunaan bekas makanan jenis polistirena di semua premis atau gerai makanan milik MPSP berkuat kuasa 1 Februari ini.

Dengan penguatkuasaan peraturan baru itu, peniaga yang didapati menggunakan bahan tersebut untuk membungkus makanan bakal berdepan tindakan tegas termasuk lesen perniagaan atau permit gerai mereka ditarik balik.

Ahli Majlis MPSP, Teoh Seang Hooi berkata, MPSP mengeluarkan notis berhubung peraturan tersebut pada 20 Disember lalu kepada semua penjaja dan peniaga makanan dan penguatkuasaan sepatutnya dilaksanakan 1 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, MPSP menangguhkan penguatkuasaan peraturan tersebut bagi memberi peluang kepada peniaga melakukan persediaan menggunakan bekas makanan yang lebih mesra alam.

"Penggunaan bekas makanan mesra alam adalah penting dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar selain mengurangkan risiko penurunan tahap kesihatan anggota masyarakat.

"Tapi kita faham, apabila kita memperkenalkan sesuatu peraturan baru, ia akan ambil masa sedikit untuk golongan sasaran menerima dan melaksanakannya," katanya ketika melakukan tinjauan pelaksanaan peraturan tersebut di Kompleks Penjaja MPSP di sini hari ini.

Seang Hooi berkata, notis berhubung pengunaan bekas makanan mesra alam dikeluarkan sebagai satu peraturan baru di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1972 yang membolehkan MPSP mengenakan syarat baru kepada pemegang lesen gerai makanan.

Menurutnya, MPSP akan mengeluarkan notis kedua pada 15 Januari ini dan penguatkuasaannya akan bermula pada 1 Februari nanti.

"Sekiranya ada penjaja atau peniaga yang didapati melanggar peraturan itu sebanyak tiga kali, MPSP boleh mengambil tindakan tegas dengan menarik semula lesen perniagaan dan permit gerai MPSP," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, penjaja dan peniaga makanan yang beroperasi di tempat lain juga digalakkan menggunakan bekas makanan mesra alam sebagai tanda sokongan terhadap usaha memelihara alam sekitar.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

CLICK CLICK CLICK