Bismillah. Assalamualaikum wbt.
“Aku harapkan maghfirahMu setiap masa dan waktu. Doaku ini bukanlah untuk waktu ini sahaja wahai Tuhan Penguasa seluruh Alam. Sungguh hambaMu yg lemah lagi hina ini selalu alpa dan lalai. Kadang ingat padaMu, kadang terpedaya dengan dunia dan segala isinya, kadang menangis teresak2 laksana anak kecil tika diri tumbang dengan ujianMu, kadang berlaku sombong pula dengan nikmatMu, Allah.. banyaknya kelemahanku..kurangnya amalanku..banyaknya dosaku.. dikala waktu yang semakin menghambat..entah esok atau lusa aku dicabut nyawa.. Masukkanlah aku dalam syurgaMu dengan rahmatMu ya Allah..lindungilah aku dari bahang api nerakaMu ya Allah.. Berikan aku nikmat kefahaman Islam yg sebenar,, berikan aku hidayahMu.. Wahai Tuhan yg Maha Sempurna.. yg terpelihara dari segala macam kekurangan..Kaulah yg Maha Perkasa, yg Maha Mendengar, Yg Maha Mengasihani.. Kasihi aku ya Allah..” AMIN.
Fadilat Muharam (MAAL HIJRAH)
Hari pertama dalam takwim Islam dikira daripada detik penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Daripada peristiwa itu bermulanya siyar Islam ke segala pelosok dunia dan meletakkan kejayaan Islam sehingga 3/4 dunia. Maka, Muharam merupakan bulan pertama dalam Islam dikira mulai tahu pertama hijrah. Kini umat Islam memasuki tahun hijrah ke 1421.
Adapun, Rasulullah S.A.W memerintahkan umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana penyeksaan berat yang dilakukan oleh golongan musyrikin Quraisy kepada golongan Mukmin. Orang-orang Islam merupakan golongan minoriti ketika itu. Penghijrahan pertama terdiri daripada 14 orang dan 100 orang pada peringkat kedua, 17 daripadanya wanita, orang tua dan kanak-kanak.
Antara Fadilat bulan Muharam ialah:
Abu Hurairah berkata, Rasulullah telah bersabda,
"Seutama-utama puasa sesudah puasa Ramadhan ialah puasa Muharam dan seutama-sutama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam". (Sahih Muslim)
Daripada Aishah katanya,
"Rasulullah ditanya orang mengenai Hijrah. Maka bersabda Rasulullah: Tidak ada lagi Hijrah sesudah penaklukan Makkah. Yang ada ialah jihad dan niat yang sahih. Apabila kamu diperintahkan berjihad maka patuhilah". (Sahih Muslim)
Hadis riwayat Ibni Abbas bermaksud,
"Siapa yang berpuasa pada hari akhir Zulhijah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahun melakukannya". Jelas Ibni Abbas lagi,
"Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu".
Doa itu bermaksud, " Wahai Tuhanku, Engkaulah selamanya didahului pada tahun baru ini hamba bermohon kepada engkau semoga terpelihara daripada syaitan dan pemerintah syaitan dan hamba memohon pertolongan Engkau, peliharakan hamba daripada nafsu amarah dan jahat, dan yang membimbangkan hamba akan perkara yang menghampirkan hamba dengan Engkau wahai yang Mulia".
Siapa yang berpuasa pada Jumaat pertama Muharam, nescaya diampunkan Allah dosa-dosa yang lalu.
Siapa yang berpuasa tiga hari berturut-turut pada hari Khamis, Jumaat dan sabtu pada bulan Muharam, nescaya Allah memberi pahala seperti beribadat 900 tahun. Bacalah doa berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah:
"Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".
Selepas doa di atas dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun".
Bacalah doa awal tahun ini sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam:
"Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".
Selepas dibaca doa itu, syaitan berkata,
"Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".
No comments:
Post a Comment